Sunday, 30 October 2011

KETENTERAMAN DESASISWA, KEBAJIKAN SEMUA

Ketua Penolong Pendaftar,
Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar,
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian,
Kelantan Darul Naim.                                                                      

KETENTERAMAN DESASISWA, KEBAJIKAN SEMUA

Dengan segala hormatnya saya merujuk perkara di atas.

2.         Untuk pengetahuan tuan, pihak Bank RHB telah mengadakan satu program di padang sebelah Blok Putera Desasiswa Nurani sepanjang pagi 29 Oktober 2011. Terlebih dahulu, kami menghargai dan memandang positif terhadap hubungan baik antara pihak universiti dengan bank berkenaan.

3.         Namun demikian, aktiviti tersebut telah menjadi gangguan kepada ramai penghuni seawal jam 0730 hingga tengah hari itu. Pembesar suara yang dipasang terlalu kuat bunyinya dihadapkan ke arah Blok Putera Desasiswa Nurani. Kawan-kawan yang biasanya bangun  daripada tidur selepas jam 10 pagi juga terkejut sekitar jam 0745. Penghuni-penghuni yang termasuk senior dan junior mengadu tentang fenomena ini dan berpendapat bahawa hal ini tidak sepatutnya berlaku.

4.         Tambahan lagi, program itu menjadikan para penghuni mangsa dari segi akademik. Dengan kata  lain, kami tidak dapat belajar dalam keadaan yang selesa bilik yang berfungsi sebagai rumah kedua kita. Hal ini demikian kerana getaran daripada pembesar suara berlanjutan berjam-jam lamanya. Bak kata pepatah “mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya”, sudah tiba masanya kita bersama-sama mengambil langkah proaktif untuk memikirkan langkah pencegahan perkara sedemikian daripada mengulangi.

5.         Dengan ini, kami memohon agar pihak tuan memberikan fokus yang lebih besar dalam soal kebajikan pelajar dalam usaha menjayakan program-program universiti yang akan datang. Pembesar suara bolehlah dihalakan kepada arah lain manakala pihak universiti bolehlah mengenakan peraturan serta pemantauan terhadap pihak penganjur dalam hal ehwal ini. Lokasi lain yang tidak merugikan mana-mana pihak juga boleh dipertimbangkan. Pada masa yang sama, pandangan semua pihak perlu diambil kira dengan rasa penuh hormat.

6.         Akhir sekali, saya tidak berniat untuk mencabar pihak pengurusan universiti, BHEPP dan kepimpinan MPDN tetapi sekadar mengutarakan suara rakan-rakan di desasiswa ini. Oleh sebab program ini mendapat kelulusan rasmi universiti manakala pihak MPDN bertanggungjawab menjaga kebajikan penghuni, surat ini diutuskan kepada pihak pengurusan USM serta barisan kepimpinan penghuni desasiswa. Jalinan hubungan baik antara pihak universiti dengan institusi lain memang penting tetapi kebajikan para pelajar wajar kita lindungi.

Sekian, terima kasih. Salam Satu Malaysia.

“KEBAJIKAN SEMUA, TANGGUNGJAWAB BERSAMA”
  
Salinan kepada:
Majlis Tertinggi, Majlis Penghuni Desasiswa Nurani
Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan, Majlis Penghuni Desasiswa Nurani

No comments:

Post a Comment