Thursday, 25 October 2012

USUL PARLIMEN MAHASISWA/DEWAN PERUNDINGAN PELAJAR (DPP) - Menaiktarafkan Sistem Komunikasi Antara Universiti Dengan Siswa Baru, Dan/Untuk Melancarkan Proses SEBELUM DAN SEMASA Minggu Siswa Lestari, Supaya Tiada Bakal Mahasiswa Universiti APEX Yang Tertinggal Atau Tercicir, Daripada Peluang Untuk Mendekatkan Diri Dengan Mentor dan Perkembangan Semasa, Khususnya Pengumuman atau Peringatan yang Penting Atau Tergempar Dengan Percuma, Sistematik, Efektif Dan Efisien

USUL PARLIMEN MAHASISWA/DEWAN PERUNDINGAN PELAJAR (DPP)
25 OKTOBER 2012, THURS


Menaiktarafkan Sistem Komunikasi Antara Universiti Dengan Siswa Baru, Dan/Untuk Melancarkan Proses SEBELUM DAN SEMASA Minggu Siswa Lestari, Supaya Tiada Bakal Mahasiswa Universiti APEX Yang Tertinggal Atau Tercicir, Daripada Peluang Untuk Mendekatkan Diri Dengan Mentor dan Perkembangan Semasa, Khususnya Pengumuman atau Peringatan yang Penting Atau Tergempar Dengan Percuma, Sistematik, Efektif Dan Efisien


JUSTIFIKASI

1.      PENGENALAN:
(i)            Sejurus selepas keputusan senarai pelajar yang berjaya ditawarkan tempat di Universiti Sains Malaysia sebelum Minggu Siswa Lestari diumumkan, berbagai-bagai soalan yang diajukan oleh siswa baru khususnya berkenaan dengan isi kandungan atau arahan pada Buku Panduan Siswa Lestari. Ramai pelajar yang salah mentafsir dan menerima berbagai-bagai-bagai input.

(ii)           Sekiranya diteliti, kebanyakan soalan yang ditanya merujuk perkara sama dan hanya memerlukan satu jawapan yang sama. Pembaziran masa untuk menjawab soalan yang sama oleh beberapa pihak dengan jawapan atau pandangan peripadi dapat kita elakkan dengan mengkaji semula arahan Buku Panduan Siswa Lestari yang memberikan kekeliruan. Di samping itu, soalan lazim (FAQ atau Frequently Asked Questions) bersama jawapan lengkap harus diramal berdasarkan pengalaman lepas, dikumpulkan dan didokumentasikan bagi membaiki segala kekurangan pada buku panduan tersebut.

(iii)          Contohnya, arahan pada Lampiran H Buku Panduan Siswa Lestari mewujudkan kekeliruan dalam kalangan bakal mahasiswa kerana istilah “Bahasa Malaysia Kertas Julai” tidak pernah wujud dalam benak mereka sehingga terdapat bakal mahasiswa yang mengambil inisiatif untuk bertanya sama ada siswa baru hendaklah menduduki peperiksaan tersebut sebelum hari pendaftaran. Terlalu ramai bakal mahasiswa keliru sama ada arahan pada lampiran H adalah hanya untuk pelajar yang merancang untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada PTPTN ataupun untuk semua bakal mahasiswa. Bakal Mahasiswa juga tidak jelas tentang arahan untuk sediakan setem hasil adalah hanya untuk pemohon PTPTN atau semua sekali, sehingga terdapat bakal siswa yang mengabaikan perkara ini atau membeli berlebihan kerana khuatir tidak cukup jumlahnya. Hal ini berlaku kerana arahan pada buku panduan adalah tidak jelas sementara tiada penjelasan yang diberikan.


2.    FACEBOOK:
(i)            Secara umum, Facebook telah memainkan peranan yang penting dalam hebahan maklumat dan hampir semua bakal mahasiswa mempunyai akaun Facebook. Sepanjang tahun ini, kita sedar terdapat pegawai BHEPP (Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) yang aktif dalam Facebook sama ada secara peribadi ataupun dalam group pelajar.

(ii)           Perkara-perkara penting bolehlah diberikan perhatian serius dengan peringatan sekali demi sekali dengan percuma.

(iii)          Untuk memastikan bahawa tiada bakal mahasiswa yang tercicir untuk mendapatkan maklumat penting yang termasuk perubahan tergempar khususnya hal ehwal persediaan yang perlu diselesaikan sebelum Minggu Siswa Lestari; kita haruslah memastikan bahawa SEMUA bakal mahasiswa dapat kita satukan di Facebook Group yang sememangnya ditubuhkan untuk membantu bakal mahasiswa.


3.       Konsep SEMUA atau TIADA YANG TERCICIR, “LINK” Facebook Group
(i)            Konsep SEMUA bakal mahasiswa harus kita tekankan dan usahakan kerana fakta telah menunjukkan bahawa terdapat bakal mahasiswa yang tercicir daripada maklumat penting yang tidak dihebahkan melalui pohon.usm.my atau Buku Panduan Siswa Lestari tetapi hanya pada Facebook Group, terpinggir daripada menikmati perkhidmatan tertentu yang tidak sepatutnya berlaku. Antara kelemahan sistem komunikasi antara pihak universiti termasuk wakilnya PPSL, dengan bakal mahasiswa yang lalu, melalui Facebook termasuklah penyertaan (join) group adalah secara tidak sistematik. Jumlah ahli group tidak mencerminkan jumlah sebenar bakal mahasiswa USM kerana cara group dihebahkan membolehkan bakal siswa universiti lain seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia menyertai group tersebut tanpa halangan. Dengan kata lain, masih ramai bakal mahasiswa Universiti Sains Malaysia tidak sempat untuk mendekatkan diri dengan sumber maklumat dan PPSL sebagai mentor.

(ii)           Dengan ini, saya mencadangkan bahawa satu Facebook Group yang baru dapat ditubuhkan oleh pihak universiti bersama PPSL dan “link” kepada Facebook Group tersebut akan dinyatakan dengan jelas pada pohon.usm.my (bagi semua bakal mahasiswa yang ditawarkan tempat di Universiti Sains Malaysia) supaya tiada bakal mahasiswa yang tertinggal kerana “link” yang menghubungkan bakal mahasiswa dengan pihak universiti dan PPSL dinyatakan dengan jelas pada halaman pohon.usm.my dinyatakan pada halaman yang wajib dibaca atau dilihat oleh semua bakal mahasiswa. Contohnya, di halaman yang perlu diakses oleh bakal mahasiswa untuk mencetak surat tawaran sementara atau Buku Panduan Siswa Lestari, atau dokumen-dokumen yang dilampirkan bersamanya.

(iii)          Untuk membantu bakal mahasiswa yang datang keseorangan dari Sabah dan Sarawak, USM Kampus Kesihatan menyediakan pengangkutan untuk menyambut dan menghantar bakal mahasiswa tersebut dari lapangan terbang Sultan Ismail di Pengkalan Chepa, Kota Baharu ke USM Kampus Kesihatan. Hal ini tidak dinyatakan sesekali sama ada pada pohon.usm.my atau Buku Panduan Siswa Lestari atau mana-mana dokumen yang berkaitan. Akibatnya, ramai bakal mahasiswa yang tidak sedar tentang perkhidmatan ini dan runsing mendapatkan bantuan daripada pihak luar. Bakal mahasiswa juga tidak dimaklumkan tentang prosedur yang membolehkan penginapan sementara atau pendaftaran awal di desasiswa Kampus Kesihatan bagi anak negeri Sabah dan Sarawak, yang menghadapi kekangan tertentu walaupun USM Kampus Kesihatan sentiasa sedia membantu siswa-siswi baru.

(iv)         Selain itu, pelajar daripada keluarga ekonomi rendah yang belum atau tidak berjaya mendapat sebarang tajaan atau bantuan kewangan tidak mendapat panduan dan maklumat berkenaan walaupun perkhidmatan itu telah disediakan. Contohnya, sistem Jabatan Bendahari pada hari ini menggalakkan semua bakal mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan untuk menjelaskan sekurang-kurangnya yuran tidak berulang. Sekiranya bakal mahasiswa tersebut masih menghadapi masalah kewangan, hanya RM 100.00 perlu dijelaskan sebelum kelas pertama bermula. Pada masa yang sama, bakal mahasiswa haruslah dimaklumkan tentang bantuan kewangan sementara universiti melalui Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) dan Pusat Pengajian masing-masing. Namun demikian, perkara-perkara ini tidak langsung dibincangkan dalam pohon.usm.my atau Buku Panduan Siswa Lestari atau mana-mana dokumen lampiran sehingga terdapat bakal mahasiswa runsing mendapatkan bantuan pihak luar.

(v)          Di samping itu, bakal mahasiswa tidak dimaklumkan bahawa buku panduan bersama dokumen lampiran tidak akan diberikan dalam bentuk “hard copy”. Bakal mahasiswa menganggap buku bersama dokumen tersebut akan disertakan bersama surat tawaran dan dihantar ke rumah masing-masing. Bakal mahasiswa tidak tahu hal ini sehingga seseorang pelajar yang mengambil inisiatif untuk mendapatkan respons berkenaan dan berkongsi. Pembaziran masa dalam meneka atau panggilan telefon boleh dielakkan pada masa depan sekiranya maklumat berkenaan telah dinyatakan secara jelas sama ada melalui pohon.usm.my atau Buku Panduan Siswa Lestari.

(vi)         Antara langkah penyelesaian termasuk menyatakan dengan jelas “link” kepada Facebook group kepada SEMUA bakal mahasiswa, supaya bakal mahasiswa yang terlibat mendapat maklumat berkenaan awal-awal lagi.

(vii)        Perkara-perkara penting seperti peringatan untuk menyediakan dokumen penting khususnya dokumen yang diperlukan atau wajib dibawa bersama semasa pendaftaran siswa baru semasa minggu orientasi. Saya amat bersyukur kerana PPSL yang dilantik mempunyai kasih sayang yang terpuji terhadap bakal mahasiswa sehingga membantu membeli barang-barang keperluan yang wajib dibawa bersama semasa Minggu Siswa Lestari seperti baju kemeja putih atau tudung putih yang wajib dipakai semasa Majlis Sambutan Siswa tetapi tidak diberi perhatian serius oleh ramai bakal mahasiswa dan juga kasut getah semasa Kem Pimpin siswa, hanya atas sebab bakal mahasiswa tidak membawa bersama kerana tidak memberikan perhatian pada arahan yang dinyatakan pada Buku Panduan Siswa Lestari. Arahan berkenaan mungkin berada dalam bentuk bold dan dianggap telah diberi penekanan oleh pihak universiti. Namun demikian, kita harus mengakui bahawa kesannya pada pembaca yakni bakal mahasiswa adalah berbeza daripada kesan yang dijangka oleh pihak universiti yang menyediakannya. Langkah ini semestinya dapat menjimatkan masa semua siswa semasa minggu orientasi dan menggantikannya dengan pengisian yang lebih bermanfaat.


(viii)       Apa yang lebih penting, langkah ini adalah Percuma kerana tiada kos yang diperlukan. Hebahan maklumat dapat dilakukan dengan efektif dan efisien kerana Facebook telah menjadi laman kegemaran hampir semua bakal mahasiswa. Ramai dalam kalangan bakal mahasiswa yang “online” Facebook berjam-jam sehari, dari siang hingga malam kerana sedang bakal mahasiswa sedang menikmati cuti panjang selepas tamat matrikulasi, asasi, Tingkatan 6 dan sebagainya. Tidak kurang juga bakal mahasiswa yang sanggup “online” Facebook semasa bekerja. Mesej saya di sini ialah Facebook merupakan saluran maklumat yang cukup hebat dan berkesan.

(ix)         Semua manfaat berikut hanya dinikmati oleh SESETENGAH bakal mahasiswa dan kini kita dapat memastikan SEMUA bakal mahasiswa yang mempunyai akaun Facebook dapat menikmatinya.


4.    Manfaat kepada bakal mahasiswa:

      Apabila konsep “Tiada tercicir” diberikan perhatian serius dengan menyatakan “link” kepada Facebook Group, SEMUA bakal mahasiswa berpeluang mendekatkan diri dengan kepimpinan universiti dibantu oleh PPSL.

     ii.        Soalan siswa-siswi mendapat perhatian dan maklum balas walaupun pada hujung minggu atau hari tidak bekerja atau cuti umum atau luar waktu pejabat.

    iii.        Memastikan bahawa SETIAP bakal mahasiswa membina hubungan baik dan mendapatkan bimbingan atau mentor PPSL atau staf untuk mendapatkan nasihat atau pengalaman


5.     Manfaat kepada Universiti:
      i.                Pihak universiti dapat memastikan kesahihan sesuatu maklumat dan isu pelajar mendapat maklumat berbeza-beza berkenaan satu isu yang sama kerana jawapan kepada FAQ adalah dalam bentuk bertulis (Facebook status atau Facebook Comment atau lebih penting lagi Facebook Documents), yang maklumatnya adalah lengkap dan menyeluruh. Sesuatu Facebook Document yang diwujudkan hendaklah disemak oleh jabatan berkenaan terlebih dahulu sebelum dihebahkan kepada bakal mahasiswa. Hal ini juga membolehkan bakal mahasiswa yang sedang berada dalam penambahbaikan sistem sentiasa peka dan membezakan maklumat daripada senior-senior yang menggunakan sistem lama.

     ii.        Soalan lazim yang merujuk perkara yang sama dan memerlukan jawapan yang sama tidak akan ditanya berulang kali melalui panggilan telefon atau e-mel kerana telah dijelaskan secara bertulis dengan lengkap malahan menyeluruh di Facebook. Dengan kata lain, jawapan yang diberi adalah ONCE AND FOR ALL dan boleh diperbaiki dan digunakan lagi pada tahun-tahun akan datang. Isu layanan staf kurang memuaskan seperti menerima daripada staf dapat dikurangkan. Hal ini dapat meringankan tugas staf universiti dan diharapkan bahawa perkara yang lebih penting dapat dilakukan sementara panggilan telefon dan e-mel telah pun berkurang.

    iii.        Satu pengumuman baru atau perubahan tergempar dapat disampaikan kepada SEMUA PELAJAR, dengan lebih efektif dan efisien.

   iv.        Imej universiti menjadi harum kerana berjaya memanfaatkan sepenuhnya Facebook untuk tujuan pentadbiran; dan menjadi teladan kepada universiti lain apabila Universiti Sains Malaysia mendapatkan alternatif yang lebih baik untuk membaiki sistem komunikasi yang sedia ada.


6.    SATU GROUP UNTUK SATU KAMPUS
i.              Saya amat berharap bahawa terdapat 3 “link” yang akan wujud pada halaman pohon.usm.my yang dibincangkan di atas, yakni Group untuk:
(a)  Kampus Induk
(b)  Kampus Kejuruteraan
(c)  Kampus Kesihatan
ii.             Hal ini demikian kerana isu yang berbeza akan bangkit di kampus yang berbeza. PPSL atau pengurusan kampus lebih jelas dengan isu kampus sendiri daripada kampus lain.


7. Penjelasan dan salah faham
Pihak universiti haruslah menjelaskan mana-mana perkara yang mungkin menjejaskan imej universiti atau mewujudkan salah faham dalam kalangan warga universiti tercinta.

Pada kemasukan mahasiswa 2012/2013, pelan kampus Induk diberi tetapi tidak pada pelajar Kampus Kesihatan. Oleh sebab tiada penjelasan diadakan, ramai bakal mahasiswa kampus kesihatan tidak berpuas hati dan berasa tersisih daripada Kampus Induk.

Pada kemasukan mahasiswa sidang akademik 2012/2013 juga, pemohon kursus di USM dikenakan caj sebanyak RM 40.00. Tiada penjelasan yang dilakukan dan hal ini telah memberikan imej negatif kepada masyarakat umum khususnya pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Sains Malaysia.

TUNTUTAN:
1.    Mewujudkan satu jawatankuasa yang diterajui oleh mantan-mantan PPSL, wakil staf daripada jabatan-jabatan yang terlibat, siswa-siswi tahun satu atau mana-mana warga USM yang sesuai untuk mewujudkan dokumen-dokumen yang merupakan senarai FAQ lepas dan soalan-soalan yang diramal bersama dengan jawapan bertulis.
(i)            Jawatankuasa ini haruslah diteruskan pada masa akan datang tetapi ahlinya hendaklah diperbaharui setiap tahun.
(ii)           Jawapan atau maklum balas mestilah disemak oleh jabatan berkenaan sebelum dikongsi kepada siswa-siswi sidang akademik yang baru.
(iii)          Staf atau wakil jabatan khususnya BHEPP haruslah menyertai Facebook group tersebut. PPSL harus membantu dalam hal ehwal ini.

2.    Satu Facebook Group yang dianggotai, disokong dan dipantau selalu oleh pihak-pihak yang dinyatakan pada perkara (1), bersama dengan dokumen-dokumen penting khususnya FAQ yang disebut pada perkara (1) haruslah ditubuhkan oleh pihak universiti SEBELUM semakan keputusan kemasukan diumumkan.
(i)            Pelantikan PPSL di ketiga-tiga kampus haruslah dijalankan selewat-lewatnya semasa temu duga bagi kursus-kursus Ijazah Sarjana Muda diadakan, yakni akhir bulan April atau awal bulan Mei, atau dalam tempoh yang membolehkan PPSL menyertai Facebook Group tersebut sebelum Group tersebut dihebahkan kepada bakal mahasiswa melalui pohon.usm.my.
(ii)           PPSL yang dilantik bersama pegawai-pegawai yang diamanahkan untuk mewakili jabatan berkenaan khususnya Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) haruslah telah menjadi ahli Facebook Group tersebut sebelum Facebook Group ini dihebahkan melalui pohon.usm.my.

3.    “Link” kepada Facebook Group tersebut akan dinyatakan dengan jelas pada pohon.usm.my (bagi semua bakal mahasiswa yang ditawarkan tempat di Universiti Sains Malaysia) supaya tiada tertinggal atau tercicir kerana “link” yang menghubungkan bakal mahasiswa dengan pihak universiti dan PPSL ternyata dengan jelas pada halaman pohon.usm.my dinyatakan pada halaman yang wajib dan sangat mudah dibaca atau dilihat oleh bakal mahasiswa

4.    Pihak universiti haruslah menjelaskan mana-mana perkara yang mungkin menjejaskan nama baik universiti APEX atau menimbulkan salah faham antara pelajar dengan pihak universiti

"Your Voice Matters"
"Berkhidmat, Memimpin"

Friday, 30 December 2011

PELAN PERPADUAN (II) - PELAJAR TAHUN SATU USMKK


Ketua/Wakil Pelajar Tahun Satu,
Pusat Pengajian Sains Kesihatan,
Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian,
Kelantan Darul Naim.                                                                                14 NOVEMBER 2011

PELAN PERPADUAN (PANDUAN) - PELAJAR TAHUN SATU USMKK

Dengan segala hormatnya saya merujuk perkara di atas.

2.         Surat bertulis ini merupakan jaminan keikhlasan saya sebagai ketua dan wakil pelajar pergigian tahun satu dalam usaha menjalinkan hubungan baik malahan lestari di samping merapatkan jurang antara anggota ketiga-tiga pusat pengajian.

3.         Dengan ini, senarai cadangan atau panduan yang dipercayai dapat mendekatkan kita daripada matlamat kita – PERPADUAN, telah dilampirkan bersama surat ini. (Rujuk Lampiran I)

4.         Oleh sebab perjumpaan dengan saudara-saudari tidak sesuai dilakukan dalam masa terdekat yang disebabkan oleh ujian pusat pengajian masing-masing, sekali lagi surat diutuskan sebagai media perhubungan.

5.         Komitmen yang ditunjukkan bakal mencetus perkembangan yang lebih agung di Universiti Sains Malaysia. Demi kawan-kawan dan negara kita, semoga saudara-saudari menghargai peluang yang tercipta dan sama-sama kita jayakan sesuatu yang mulia.

Sekian, terima kasih. Salam Satu Malaysia.

“BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH”



__________________
(CHAI RONG YAO)
Ketua/Wakil Pelajar Tahun 1,
Pusat Pengajian Sains Pergigian

s.k.       :           1.         Ketua/Wakil Pelajar Perubatan Tahun Satu
2.         Ketua-ketua/Wakil-wakil Pelajar Sains Kesihatan Tahun Satu






Monday, 31 October 2011

PELAN PERPADUAN - PELAJAR TAHUN SATU USMKK

PELAN PERPADUAN
USM DOCTOR OF MEDICINE
USM DOCTOR OF DENTAL SURGERY


Ketua/Wakil Pelajar Tahun Satu,
Pusat Pengajian Sains Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian,
Kelantan Darul Naim.                                                                                                29 OKTOBER 2011

PELAN PERPADUAN - PELAJAR TAHUN SATU USMKK

Dengan segala hormatnya saya merujuk perkara di atas.

2.         Oleh sebab perbezaan dari segi lokasi pembelajaran dan mentaliti sesetengah pihak, isu jurang antara anggota PPSP SG dengan PPSK telah lama wujud di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia. Fenomena ini adalah tidak sihat dan saya mempercayai sudah tiba masanya kita sebagai pemimpin, mengorak langkah dengan memulakan lembaran yang baru.

3.         Sehubungan dengan itu, saya yakin bahawa saudara mempunyai pelbagai pendapat yang baru malahan matang. Oleh itu, pandangan saudara amat diperlukan dalam merealisasikan usaha mulia ini. Satu sesi pertemuan antara pemimpin juga wajar diadakan sebagai sesi perkenalan dan permulaan medan pertukaran pandangan. Dengan ini, saya mengajak saudara sekalian untuk menyertai makan malam bersama-sama yang dipercayai dapat mencetuskan sesuatu yang istimewa pada ketetapan berikut:

Tarikh             :           01 November 2011
Hari                 :           Selasa
Masa               :           8.30 p.m. hingga 9.45 p.m.
Lokasi             :           Pizza Hut di hadapan USMKK

4.         Komitmen saudara-saudari semestinya bakal menjadi perintis kepada usaha-usaha yang lebih hebat dan bermanfaat kepada kawan-kawan kita.

Sekian, terima kasih. Salam Satu Malaysia.

“BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH”




__________________
(CHAI RONG YAO)
Ketua/Wakil Pelajar Tahun 1,
Pusat Pengajian Sains Pergigian

s.k.      :        Ketua/Wakil:
  1. Kursus Doktor Perubatan
  2. Kursus Sarjana Muda Bioperubatan (Kepujian)
  3. Kursus Sarjana Muda Sinaran Perubatan (Kepujian)
  4. Kursus Sarjana Muda Dietetik (Kepujian)
  5. Kursus Sarjana Muda Audiologi (Kepujian)
  6. Kursus Sarjana Muda Forensik (Kepujian)
  7. Kursus Sarjana Muda Kejururawatan (Kepujian)
  8. Kursus Sarjana Muda Patologi Pertuturan (Kepujian)
  9. Kursus Sarjana Muda Sains Senaman & Sukan (Kepujian)
  10. Kursus Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan (Kepujian)
  11. Kursus Sarjana Muda Pemakanan (Kepujian)
  12. Diploma Kejururawatan Tahun Satu
  13. Diploma Kejururawatan Tahun Dua

Sunday, 30 October 2011

KETENTERAMAN DESASISWA, KEBAJIKAN SEMUA

Ketua Penolong Pendaftar,
Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar,
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian,
Kelantan Darul Naim.                                                                      

KETENTERAMAN DESASISWA, KEBAJIKAN SEMUA

Dengan segala hormatnya saya merujuk perkara di atas.

2.         Untuk pengetahuan tuan, pihak Bank RHB telah mengadakan satu program di padang sebelah Blok Putera Desasiswa Nurani sepanjang pagi 29 Oktober 2011. Terlebih dahulu, kami menghargai dan memandang positif terhadap hubungan baik antara pihak universiti dengan bank berkenaan.

3.         Namun demikian, aktiviti tersebut telah menjadi gangguan kepada ramai penghuni seawal jam 0730 hingga tengah hari itu. Pembesar suara yang dipasang terlalu kuat bunyinya dihadapkan ke arah Blok Putera Desasiswa Nurani. Kawan-kawan yang biasanya bangun  daripada tidur selepas jam 10 pagi juga terkejut sekitar jam 0745. Penghuni-penghuni yang termasuk senior dan junior mengadu tentang fenomena ini dan berpendapat bahawa hal ini tidak sepatutnya berlaku.

4.         Tambahan lagi, program itu menjadikan para penghuni mangsa dari segi akademik. Dengan kata  lain, kami tidak dapat belajar dalam keadaan yang selesa bilik yang berfungsi sebagai rumah kedua kita. Hal ini demikian kerana getaran daripada pembesar suara berlanjutan berjam-jam lamanya. Bak kata pepatah “mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya”, sudah tiba masanya kita bersama-sama mengambil langkah proaktif untuk memikirkan langkah pencegahan perkara sedemikian daripada mengulangi.

5.         Dengan ini, kami memohon agar pihak tuan memberikan fokus yang lebih besar dalam soal kebajikan pelajar dalam usaha menjayakan program-program universiti yang akan datang. Pembesar suara bolehlah dihalakan kepada arah lain manakala pihak universiti bolehlah mengenakan peraturan serta pemantauan terhadap pihak penganjur dalam hal ehwal ini. Lokasi lain yang tidak merugikan mana-mana pihak juga boleh dipertimbangkan. Pada masa yang sama, pandangan semua pihak perlu diambil kira dengan rasa penuh hormat.

6.         Akhir sekali, saya tidak berniat untuk mencabar pihak pengurusan universiti, BHEPP dan kepimpinan MPDN tetapi sekadar mengutarakan suara rakan-rakan di desasiswa ini. Oleh sebab program ini mendapat kelulusan rasmi universiti manakala pihak MPDN bertanggungjawab menjaga kebajikan penghuni, surat ini diutuskan kepada pihak pengurusan USM serta barisan kepimpinan penghuni desasiswa. Jalinan hubungan baik antara pihak universiti dengan institusi lain memang penting tetapi kebajikan para pelajar wajar kita lindungi.

Sekian, terima kasih. Salam Satu Malaysia.

“KEBAJIKAN SEMUA, TANGGUNGJAWAB BERSAMA”
  
Salinan kepada:
Majlis Tertinggi, Majlis Penghuni Desasiswa Nurani
Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan, Majlis Penghuni Desasiswa Nurani